BHARIAN:21SEP 2006
Sunday, September 24, 2006
Drama wajar papar sudut positif siswa
DRAMA dan filem yang ditayang di kaca televisyen akhir-akhir ini dilihat seakan-akan menjatuhkan kredibiliti mahasiswa. Semakin banyak drama dilihat mengisahkan kehidupan mahasiswa di kampus.
Sebagai contoh kebanyakan drama mengisahkan kisah cinta siswa dan siswi. Tambahan pula penonton disajikan dengan gaya hidup mahasiswa yang mencerminkan budaya hedonisme Barat.
Semua ini membawa tanggapan serong masyarakat terhadap mahasiswa. Mahasiswa dilabel sebagai tidak mempunyai idealisme dan terikut-ikut dengan budaya yang gemar bersuka-ria tanpa ada batasan antara lelaki dan perempuan.
Persoalan pokok yang harus diulas, mengapa pengarah drama dan filem begitu berminat memaparkan kisah mahasiswa dari sudut negatif? Sekiranya kisah ini dipaparkan untuk menarik perhatian penonton, maka mereka menanam ‘mind set’ yang salah kepada masyarakat.
Masyarakat akan beranggapan universiti adalah tempat untuk berseronok dan sudah lari daripada tujuan asal menimba ilmu.
Bukankah banyak sudut positif yang lain dalam kehidupan mahasiswa boleh dihidangkan kepada masyarakat khususnya penonton.
Mahasiswa turut terbabit dengan kegiatan kemasyarakatan, misalnya program khidmat masyarakat, program anak angkat dan program yang diadakan di kampung. Program ini sebenarnya mendekatkan mereka dengan masyarakat.
Justeru, publisiti seperti ini perlu diperluaskan, secara tidak langsung ia mampu memberi gambaran jelas mengenai kegiatan mahasiswa yang tidak tertumpu di bilik kuliah semata-mata.
Kita juga harus menoleh sejarah kedudukan mahasiswa sangat dekat di hati masyarakat. Mahasiswa turut menyumbang kepada kemerdekaan negara dan mahasiswa juga pernah menjadi pembela masyarakat.
Jasa mahasiswa dulu menjadi inspirasi kepada generasi kini. Namun, kekurangan publisiti menyebabkan peranan mahasiswa kian dilupakan.
Sumbangan mereka tidak seharusnya dilupakan dan perlu dilestarikan supaya mahasiswa menjadi aspirasi kepada rakyat Malaysia.
MOHD REZWAN ALIS,
Anjung Rahmat, Kuala Lumpur.
posted by rezwan @ Sunday, September 24, 2006,
![]()
0 Comments:
![]()
