Site Network: Personal | My Company | Artist projects | Shop

 



Martabatkan Kembali Bahasa Melayu



Syabas dah tahniah diucapkan kepada semua calon yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini dan telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.Peperiksaan UPSR merupakan penilaian yang dianggap amat penting khususnya bagi pelajar sekolah rendah bagi mengukur tahap pencapaian akademik setelah 6 tahun belajar di sekolah rendah.

UPSR tahun ini telah menunjukan peningkatan yang amat baik iaitu seramai 42,029 daripada 496,439 telah memperolehi 5A.Ini menunjukan peningkatan keputusan calon sebanyak 8.5 peratus berbanding 7.3 peratus pada tahun dahulu. Daripada hampir 500 000 calon yang menduduki UPSR lebih kurang 20 000 mendapat keputusan grad D dan E. Perkara ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran , Datuk Dr Ahamad Sipon ketika mengumumkan keputusan peperiksaan UPSR pada tahun 2006. Syabas dan tahniah sekali lagi diucapkan kepada calon UPSR.

Apa yang perlu kita tinjau dan analisa bagaimana pencapaian keputusan calon UPSR bagi subjek Sains dan Matematik yang kini telah diajar dalam bahasa Inggeris. Walaupun statistik menunjukan pencapaian hampir 80 hingga 90 peratus calon mendapat grad A,B dan C bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi kedua-dua subjek, namun kementerian , guru serta ibu bapa tidak seharusnya menarik lafas lega dan berasa bangga dengan angka-angka tersebut. Ini kerana pelajar-pelajar sekolah rendah masih lagi ditahap percubaan bagi subjek Sains dan Matematik (S&M) yang sedang diajar dalam bahasa Inggeris. Maknanya kejayaan pembelajaran S&M dalam bahasa Inggeris hanya diukur pada keputusan UPSR tahun 2008.

Justeru,penilaian ini haruslah dibuat dengan teliti apabila membincangkan isu bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Persoalannya apabila S&M diajar dalam bahasa Inggeris, apakah kayu ukur atau tanda aras bagi kejayaan dasar tersebut? Hal ini boleh kita lihat pada reaksi pelajar dan guru itu sendiri. Berapa ramaikah pelajar yang menjawab dalam dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris? Adakah guru benar-benar mengajar S&M dalam bahasa Inggeris secara menyeluruh di dalam kelas?


Bahasa Melayu Bahasa Berdaulat

Realiti masyarakat Malaysia sekarang kurang peka atau cakna tentang bahasa Melayu.Mungkin atas sebab kesan penjajah dan globalisasi.Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa asing,seperti bahasa Inggeris,bahasa Jepun atau bahasa Jerman berbanding bahasa Malayu itu sendiri. Penulis tidak pula menidakkan kepentingan bahasa asing.Bahasa Inggeris kebetulan merupakan bahasa yang digunakan di peringkat antarabangsa namun jangan pula ada di kalangan kita ’memuja’ bahasa tersebut sehingga memandang rendah bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sebenarnya telah berperanan besar dalam pembangunan negara kita iaitu Malaysia tanpa kita sedari. Jika disoroti lipatan sejarah ,bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca semasa kesultanan Melayu. Dengan adanya bahasa Melayu yang merupakan bahasa komunikasi yang utama kepada para pedagang pada ketika itu. Maka, ramai pedagang dari Arab dan India berdagang di sini. Pedagang-pedagang ini bukan sahaja berdagang semata-mata tetapi telah berjaya membawa Islam meresap masuk ke alam Tanah Melayu.Seharusnya kita patut bersyukur kerana secara tidak langsung bahasa Melayu turut membantu mencampakkan agama Islam dalam hati kita.

Peranan bahasa Melayu tidak terhenti di situ,setelah kita merdeka ,martabat bahasa Melayu telah diangkat dan dijadikan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu telah diberi amanah yang cukup berat khusunya menyatupadukan kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India. Adakah kita fikir bahawa toleransi antara kaum yang kita kecapi pada hari ini datang dengan bergolek?Kedamaian serta perpaduan di Malaysia yang dinikmati semua kaum adalah hasil jasa bahasa Melayu yang telah menjadi alat perpaduan.Bahasa Melayu juga telah berjaya menjalankan amanahnya sebagai pembina negara ”nation builder”. Sebagai contoh,walaupun jiran kita Indonesia mempunyai pelbagai kaum,namum meraka telah dapat disatukan dengan bahasa Indonesia,tidak kira kaumMelayu atau kaum Cina, di sana mereka semua bertutur dalam bahasa kebangsaan mereka. Begitu juga dengan Thailand,tak kira agama atau bangsa,Thailand telah dapat menyatukan rakyat mereka dengan semangat ”Siamnya” melalui bahasa Siam. Adakah wujud bahasa lain yang boleh memupuk semangat kekitaan di negara kita selain bahasa Melayu?Jawapannya tentu tidak!

Mengangkat Martabat Bahasa Melayu

Dalam mengangkat martabat bahasa Melayu ke satu tahap yang tinggi,maka saluran pendidikan merupakan saluran yang terpenting. Ini kerana melalui pendidikan ia dapat membentuk sikap,jati diri, idealisme,dan mampu mencorak generasi muda yang unggul yang boleh menjiwai semangat cintakan tanah air.

Oleh yang demikian, bahasa Melayu haruslah ’disaluti’ dengan ilmu.Di mana karya-karya penterjemaha,sistem pembelajaran di sekolah, matrikulasi,universiti perlulah menjadikan bahasa Melayu sebagai medium bahasa penghantar pembelajaran.

Menurut Abdullah Munsyi dalam pandangan beliau mengenai isu pendidikan menyatakan bahawa ,sesebuah bangsa akan maju sekiranya ilmu yang disampaikannya dalam bahasa mereka sendiri.Ini jelas menunjukan bahawa bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa ilmu dalam institusi pendidikan kita sekiranya kita ingin melihat negara kita maju.Pandangan beliau ini telah dibuat sejak seabad yang lalu dan ternyata beliau seorang berpandangan jauh.

Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dimulakan sebelum merdeka lagi. Antaranya penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah ditubuhkan pada tahun 1956. DBP telah berperanan besar dalam memperjuangankan nasib bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu sekaligus mendaulatkan bahasa Melayu.Martabat bahasa Melayu diperkukuhkan lagi dengan Laporan Penyata Razak pada 1956 yang mengusulkan bahawa bahasa ini digunakan sebagai bahasa penghantar pendidikan.Secara tidak langsung ia dapat mengikis trauma kesan dari penjajahan dan memupuk semangat keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.

Hal ini telah berjaya dibuktikan apabila Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Melaysia pada tahun 1981 menunjukan bahawa kemahiran penggunaan bahasa Melayu meningkat dengan mendadak dan bahasa Melayu setanding dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris,Perancis dan Jerman.

Namun,sikap masyarakat kita pada hari ini kurang yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.Kita tidak seharusnya mengenepikan bahasa Melayu dan mengambil jalan pintas dengan meletakkan bahasa asing sebagai bahasa ilmu untuk maju.Harus diingat bahawa tiada jalan pintas untuk sesebuah negara itu maju.Tamadun Eropah misalnya terpaksa menunggu beribu-ribu tahun untuk berjaya pada hari ini.Hasil ilmu mereka peroleh dari orang Arab diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris.

Tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa ketika ini.Pelbagai ilmu serta maklumat harus kita terokai.Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita meletakan bahasa Melayu pada kelas kedua. Justeru itu,pelbagai langkah boleh diambil untuk memupuk minat bahasa Inggeris dikalangan pelajar pada masa yang sama menjadikan bahasa Melayu sebagai peranan utama dalam bahasa penghantar.Antara usaha yang boleh dibuat adalah dengan mewujudkan kembali program-program yang boleh membantu pelajar-pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris seperti Bulan Bahasa Inggeris yang pernah dilaksanakan pada 1979.

Pengantarabangsaan bahasa Melayu

Melangkah alaf ke 21,bahasa Melayu kini perlu diperkasa.Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat.Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.Kita perlu optimis bahawa sekiranya usaha yang kuat dan seluruh tenaga digembleng maka tidak mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia.Masyarakat luar akan berlumba-lumba untuk belajar bahasa Melayu.Pada waktu itu,tidakkah kita berasa bangga dengan bahasa kita?Ini kerana bahasa Melayu kaya dengan nilai sosio budaya yang secocok dengan budaya rakyat Malaysia.

Justeru,generasi muda hari ini adalah dilihat perlu berperanan dalam mempertahankan bahasa Melayu.Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.Satu ketika dahulu,golongan mahasiswalah yang banyak terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu sampai ke tahap yang tinggi.Sebagai contoh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya(PBMUM),Gebungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) dan ramai lagi. Jadi usaha mereka yang terdahulu haruslah disambut oleh oleh generasi hari ini dalam mempastikan survival bahasa Melayu.


Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa,
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.(Prof Emeratus Dr Nik Safiah Karim,23 Disember 1997)

Rujukan:
1.Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia,Kementerian Pelajaran Malaysia,Kuala Kumpur,1981.

2.Bahasa Melayu Dalam Dekan 90-an,Nik Safiah Karim,Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya,Kuala Lumpur,2000.

3.Isu-isu Bahasa Malaysia,Awang Sariyan,Fajar Bakti,Petaling Jaya,1984.



Rezwan Al-ias al-Malayzie
Exco Pendidikan dan Penyelidikan (EPIK)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

840807145123
0193039160
www.matatinta.blogspot.com

Suites 212, Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak,
53100.Kuala Lumpur

posted by rezwan @ Tuesday, November 21, 2006,

3 Comments:

At 12:27 AM, Blogger yAtiE said...

(was about to comment in english, then realise we are talking about BM here=P)point bagus, walaupon penulisan masih boleh diperbaiki. Berhati-hati apabila mengulangi penanda wacana justeru itu dan 'ini kerana'. Tak silap aku 'ini kerana' tu x boleh guna kan.

 
At 6:12 AM, Blogger rezwan said...

terima kasih atas teguran yang membina.Teringat cikgu siti hajar guru BM kita,selalu menegur kesalaham penandawacana

 
At 7:33 PM, Blogger 13 said...

member aku kata bahasa melayu bahasa yang hidup,kerana selalu berubah tatabahasanya..ntah la..tak perlu kot nak ubah2 tata bahasa..bina tapak,kukuhkan ia..jgan goyangkan ia..macam sistem pendidikan kita..mana tapaknya??setiap tahun ada 'batch' experiment..ini pendapat peribadi aku berdasarkan pengalaman sendiri.

 

Post a Comment

<< Home