Kemiskinan Punca Pelacuran Kanak-kanak
Monday, November 27, 2006

Perbuatan melacurkan kanak-kanak merupakan satu perbuatan yang terkutuk di sisi agama.Umat Islam diajar untuk mencari nafkah yang halal kerana dalam rezeki yang halal untuk terdapat nilai keberkatan.Nilai keberkatan ini yang akan membawa kesejahteraan dalam kehidupan baik di dunia mahupun di akhirat.Mengekploitasi kanak-kanak untuk mencari keuntungan merupakan tindakan yang harus dikutuk.
Malah kegiatan pelacuran kanak-kanak memberi kesan yang buruk dalam masyarakat.Kegiatan ini bakal mengundang satu keadaan yang tidak sihat dan menjemput pelbagai penyakit seperti AIDS dan sebagainya.
Kajian yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang mendedahkan seramai 4,315 orang kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti pelacuran. Kanak-kanak ini bertambah malang kerana meraka bukan sahaja dipaksa untuk melacurkan diri malah tidak dapat peluang untuk menimba ilmu.
Hal ini sangat membimbangkan,kerana kanak-kanak ini menempuh kehidupan yang gelap. Ketiadaan peluang untuk mereka bersekolah akan menyebabkan mereka akan mundur dan bakal disisihkan oleh masyarakat.Maka ini akan mewujudkan satu sistem kasta dalam masyarakat kita di mana mereka akan terus dipinggirkan.
Sebenarnya,di kebanyakan negara Asia Tenggara isu pelacuran kanak-kanak ini sudah lama mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.Sebagai contoh di Vietnam,perindustrian seks kanak-kanak sudah menjadi satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke negara mereka.Malah industri ini berkembang dengan pesat sehinggakan agak sukar untuk dikawal oleh kerajaan Vietnam.Walaupun pelbagai penguatkuasaan telah dijalankan,namun kegiatan ini terus berleluasa.Sebenarnya,keadaan ini telah mendapat perhatian dunia dan beberapa kajian telah dibuat tentang masalah ini.
Memang terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pelacuran kanak-kanak.Namun kita harus melihat punca yang paling utama”root of causes” permasalahan ini.
Faktor kemiskinan merupakan antara punca utama kanak-kanak ini terlibat dalam pelacuran.Ini kerana kemiskinan yang mendesak menyebabkan ada dikalangan kanak-kanak ini dipaksa untuk melacurkan diri.Hal ini terjadi di banyak negara-nagara yang miskin seperti Vietnam,Kemboja dan lain-lain.Hambatan kemiskinan menyebabkan ibu bapa terpaksa keluar mencari jalan yang mudah dengan melacurkan anak mereka sendiri.Ini dapat dibuktikan dengan adanya di kalangan masyarakat kita menjadikan pelacuran kanak-kanak ini menjadi satu pekerjaan turun temurun.
Justeru,kita harus melihat perkara ini dengan serius. Usaha menangani juga perlulah dilakukan secara kolektif.Golongan ini perlulah kita dekati dan perlulah diselamatkan.
Penguatkuasaan undang-undang masih belum memadai sekiaranya pemimpin dan masyarakat tidak mempunyai rasa sensitiviti dalam perkara ini.Semangat kasih sayang dan belas kasihan perlu disuntik dalam diri agar timbul kesedaran tentang gejala yang membarah ini.
Namun begitu,pengutkuasaan dan kesedaran masyarakat masih belum mampu menghalang isu ini sekiranya faktor kemiskinan masih menghambat diri mereka.
Mohd Rezwan B Alias
posted by rezwan @ Monday, November 27, 2006,
,
![]()
0 Comments:
Martabatkan Kembali Bahasa Melayu
Tuesday, November 21, 2006
Syabas dah tahniah diucapkan kepada semua calon yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini dan telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.Peperiksaan UPSR merupakan penilaian yang dianggap amat penting khususnya bagi pelajar sekolah rendah bagi mengukur tahap pencapaian akademik setelah 6 tahun belajar di sekolah rendah.
UPSR tahun ini telah menunjukan peningkatan yang amat baik iaitu seramai 42,029 daripada 496,439 telah memperolehi 5A.Ini menunjukan peningkatan keputusan calon sebanyak 8.5 peratus berbanding 7.3 peratus pada tahun dahulu. Daripada hampir 500 000 calon yang menduduki UPSR lebih kurang 20 000 mendapat keputusan grad D dan E. Perkara ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran , Datuk Dr Ahamad Sipon ketika mengumumkan keputusan peperiksaan UPSR pada tahun 2006. Syabas dan tahniah sekali lagi diucapkan kepada calon UPSR.
Apa yang perlu kita tinjau dan analisa bagaimana pencapaian keputusan calon UPSR bagi subjek Sains dan Matematik yang kini telah diajar dalam bahasa Inggeris. Walaupun statistik menunjukan pencapaian hampir 80 hingga 90 peratus calon mendapat grad A,B dan C bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi kedua-dua subjek, namun kementerian , guru serta ibu bapa tidak seharusnya menarik lafas lega dan berasa bangga dengan angka-angka tersebut. Ini kerana pelajar-pelajar sekolah rendah masih lagi ditahap percubaan bagi subjek Sains dan Matematik (S&M) yang sedang diajar dalam bahasa Inggeris. Maknanya kejayaan pembelajaran S&M dalam bahasa Inggeris hanya diukur pada keputusan UPSR tahun 2008.
Justeru,penilaian ini haruslah dibuat dengan teliti apabila membincangkan isu bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
Persoalannya apabila S&M diajar dalam bahasa Inggeris, apakah kayu ukur atau tanda aras bagi kejayaan dasar tersebut? Hal ini boleh kita lihat pada reaksi pelajar dan guru itu sendiri. Berapa ramaikah pelajar yang menjawab dalam dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris? Adakah guru benar-benar mengajar S&M dalam bahasa Inggeris secara menyeluruh di dalam kelas?
Bahasa Melayu Bahasa Berdaulat
Realiti masyarakat Malaysia sekarang kurang peka atau cakna tentang bahasa Melayu.Mungkin atas sebab kesan penjajah dan globalisasi.Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa asing,seperti bahasa Inggeris,bahasa Jepun atau bahasa Jerman berbanding bahasa Malayu itu sendiri. Penulis tidak pula menidakkan kepentingan bahasa asing.Bahasa Inggeris kebetulan merupakan bahasa yang digunakan di peringkat antarabangsa namun jangan pula ada di kalangan kita ’memuja’ bahasa tersebut sehingga memandang rendah bahasa Melayu.
Bahasa Melayu sebenarnya telah berperanan besar dalam pembangunan negara kita iaitu Malaysia tanpa kita sedari. Jika disoroti lipatan sejarah ,bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca semasa kesultanan Melayu. Dengan adanya bahasa Melayu yang merupakan bahasa komunikasi yang utama kepada para pedagang pada ketika itu. Maka, ramai pedagang dari Arab dan India berdagang di sini. Pedagang-pedagang ini bukan sahaja berdagang semata-mata tetapi telah berjaya membawa Islam meresap masuk ke alam Tanah Melayu.Seharusnya kita patut bersyukur kerana secara tidak langsung bahasa Melayu turut membantu mencampakkan agama Islam dalam hati kita.
Peranan bahasa Melayu tidak terhenti di situ,setelah kita merdeka ,martabat bahasa Melayu telah diangkat dan dijadikan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu telah diberi amanah yang cukup berat khusunya menyatupadukan kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India. Adakah kita fikir bahawa toleransi antara kaum yang kita kecapi pada hari ini datang dengan bergolek?Kedamaian serta perpaduan di Malaysia yang dinikmati semua kaum adalah hasil jasa bahasa Melayu yang telah menjadi alat perpaduan.Bahasa Melayu juga telah berjaya menjalankan amanahnya sebagai pembina negara ”nation builder”. Sebagai contoh,walaupun jiran kita Indonesia mempunyai pelbagai kaum,namum meraka telah dapat disatukan dengan bahasa Indonesia,tidak kira kaumMelayu atau kaum Cina, di sana mereka semua bertutur dalam bahasa kebangsaan mereka. Begitu juga dengan Thailand,tak kira agama atau bangsa,Thailand telah dapat menyatukan rakyat mereka dengan semangat ”Siamnya” melalui bahasa Siam. Adakah wujud bahasa lain yang boleh memupuk semangat kekitaan di negara kita selain bahasa Melayu?Jawapannya tentu tidak!
Mengangkat Martabat Bahasa Melayu
Dalam mengangkat martabat bahasa Melayu ke satu tahap yang tinggi,maka saluran pendidikan merupakan saluran yang terpenting. Ini kerana melalui pendidikan ia dapat membentuk sikap,jati diri, idealisme,dan mampu mencorak generasi muda yang unggul yang boleh menjiwai semangat cintakan tanah air.
Oleh yang demikian, bahasa Melayu haruslah ’disaluti’ dengan ilmu.Di mana karya-karya penterjemaha,sistem pembelajaran di sekolah, matrikulasi,universiti perlulah menjadikan bahasa Melayu sebagai medium bahasa penghantar pembelajaran.
Menurut Abdullah Munsyi dalam pandangan beliau mengenai isu pendidikan menyatakan bahawa ,sesebuah bangsa akan maju sekiranya ilmu yang disampaikannya dalam bahasa mereka sendiri.Ini jelas menunjukan bahawa bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa ilmu dalam institusi pendidikan kita sekiranya kita ingin melihat negara kita maju.Pandangan beliau ini telah dibuat sejak seabad yang lalu dan ternyata beliau seorang berpandangan jauh.
Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dimulakan sebelum merdeka lagi. Antaranya penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah ditubuhkan pada tahun 1956. DBP telah berperanan besar dalam memperjuangankan nasib bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu sekaligus mendaulatkan bahasa Melayu.Martabat bahasa Melayu diperkukuhkan lagi dengan Laporan Penyata Razak pada 1956 yang mengusulkan bahawa bahasa ini digunakan sebagai bahasa penghantar pendidikan.Secara tidak langsung ia dapat mengikis trauma kesan dari penjajahan dan memupuk semangat keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.
Hal ini telah berjaya dibuktikan apabila Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Melaysia pada tahun 1981 menunjukan bahawa kemahiran penggunaan bahasa Melayu meningkat dengan mendadak dan bahasa Melayu setanding dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti bahasa Inggeris,Perancis dan Jerman.
Namun,sikap masyarakat kita pada hari ini kurang yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.Kita tidak seharusnya mengenepikan bahasa Melayu dan mengambil jalan pintas dengan meletakkan bahasa asing sebagai bahasa ilmu untuk maju.Harus diingat bahawa tiada jalan pintas untuk sesebuah negara itu maju.Tamadun Eropah misalnya terpaksa menunggu beribu-ribu tahun untuk berjaya pada hari ini.Hasil ilmu mereka peroleh dari orang Arab diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris.
Tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa ketika ini.Pelbagai ilmu serta maklumat harus kita terokai.Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita meletakan bahasa Melayu pada kelas kedua. Justeru itu,pelbagai langkah boleh diambil untuk memupuk minat bahasa Inggeris dikalangan pelajar pada masa yang sama menjadikan bahasa Melayu sebagai peranan utama dalam bahasa penghantar.Antara usaha yang boleh dibuat adalah dengan mewujudkan kembali program-program yang boleh membantu pelajar-pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris seperti Bulan Bahasa Inggeris yang pernah dilaksanakan pada 1979.
Pengantarabangsaan bahasa Melayu
Melangkah alaf ke 21,bahasa Melayu kini perlu diperkasa.Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat.Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.Kita perlu optimis bahawa sekiranya usaha yang kuat dan seluruh tenaga digembleng maka tidak mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia.Masyarakat luar akan berlumba-lumba untuk belajar bahasa Melayu.Pada waktu itu,tidakkah kita berasa bangga dengan bahasa kita?Ini kerana bahasa Melayu kaya dengan nilai sosio budaya yang secocok dengan budaya rakyat Malaysia.
Justeru,generasi muda hari ini adalah dilihat perlu berperanan dalam mempertahankan bahasa Melayu.Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.Satu ketika dahulu,golongan mahasiswalah yang banyak terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu sampai ke tahap yang tinggi.Sebagai contoh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Melaya(PBMUM),Gebungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) dan ramai lagi. Jadi usaha mereka yang terdahulu haruslah disambut oleh oleh generasi hari ini dalam mempastikan survival bahasa Melayu.
Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa,
Sekalung budi seuntai bahasa,
Pusaka warisan budaya bangsa.(Prof Emeratus Dr Nik Safiah Karim,23 Disember 1997)
Rujukan:
1.Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia,Kementerian Pelajaran Malaysia,Kuala Kumpur,1981.
2.Bahasa Melayu Dalam Dekan 90-an,Nik Safiah Karim,Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya,Kuala Lumpur,2000.
3.Isu-isu Bahasa Malaysia,Awang Sariyan,Fajar Bakti,Petaling Jaya,1984.
Rezwan Al-ias al-Malayzie
Exco Pendidikan dan Penyelidikan (EPIK)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
840807145123
0193039160
www.matatinta.blogspot.com
Suites 212, Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak,
53100.Kuala Lumpur
posted by rezwan @ Tuesday, November 21, 2006,
,
![]()
3 Comments:
- At 12:27 AM, yAtiE said...
-
(was about to comment in english, then realise we are talking about BM here=P)point bagus, walaupon penulisan masih boleh diperbaiki. Berhati-hati apabila mengulangi penanda wacana justeru itu dan 'ini kerana'. Tak silap aku 'ini kerana' tu x boleh guna kan.
- At 6:12 AM, rezwan said...
-
terima kasih atas teguran yang membina.Teringat cikgu siti hajar guru BM kita,selalu menegur kesalaham penandawacana
- At 7:33 PM, 13 said...
-
member aku kata bahasa melayu bahasa yang hidup,kerana selalu berubah tatabahasanya..ntah la..tak perlu kot nak ubah2 tata bahasa..bina tapak,kukuhkan ia..jgan goyangkan ia..macam sistem pendidikan kita..mana tapaknya??setiap tahun ada 'batch' experiment..ini pendapat peribadi aku berdasarkan pengalaman sendiri.
Hari Graduasiku
Tuesday, November 14, 2006

Alhamdulillah,aku sudah berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda .Akhirnya aku berjaya memperoleh segulung ijazah.selepas aku bertungkus lumus dalam mengharungi liku-liku,pahit maung dalam menuntut ilmu.Tarikh 2 september itu begitu bermakna buatku,selain majlis konvokesyenku pada tarikh itu,hari lahir ibuku yang ke 47 jatuh pada hari yang sama.Hari itu aku raikan ibuku sempena hari lahirnya dan aku kongsi kegembiraan itu bersamanya.
Mahasiswa dan Segulung Ijazah
Kebanyakan kita sekarang mempunyai peluang begitu besar untuk melanjutkan pelajaran di universiti.Malah peluang itu bertambah luas dengan adanya IPTS.Bukan sahaja kita dapat peluang belajar di dalam Malaysia sahaja,malah sekiranya kita mempunyai keputusan akademik yang baik,kalau ada rezeki kita berpeluang belajar di luar negara,seperti US,UK,German dan pelbagai lagi negara yang memberi ruang dan peluang untuk kita menimba ilmu.
Sudah pasti situasi atau Susana pembelajaran berbeza antara belajar di luar Negara dan belajar di universiti tempatan berbeza.Namun,matlamat kita hanya satu untuk mencari ilmu.
Sewaktu alam mahasiswa kita seharusnya persiapkan diri kita dengan pelbagai nilai tambah,supaya kita taklah terkial-kial bila habis belajar nanti.Sekarang ni persaingan makin sengit,nak dapat kerja bukan satu perkara yang mudah.Majikan sekarang bukan nak tengok prestasi akademik sahaja,tapi elemen-elemen lain yang ada dalam diri kita supaya majikan yakin apabila mereka menggaji kita bekerja.
Lelaki VS Perempuan
Realiti skang ni dekat pusat pengajian tinggi kebanyakannya ádala perempuan.Nampaknya perempuan memang dah mendominasi lelaki di pusat pengajian tinggi.Kalau di UPSI pasti ramai cikgu wanita dari cikgu lelaki.Takyah pergi jauh di UPSI,lihat sahaja di universiti-universiti anda sendiri,pasti ramai wanita.Hatta di tempat kerjaku pun dikerumuni wanita.(Penulis bekerja sebagai Penolong penyelidik di UTM Skudai)
Namun hakikatnya ádalah sukar bagi wanita untuk mendapatkan pekerjaan berbanding lelaki.Ini kerana ramai majikan kurang berminat untuk mengambil wanita bekerja.Alasan mereka perempuan agak lemah,tidak produktif (ini terjadi apabila perempuan mengambil cuti yg lama ketika bersalin)
Sesetengah majikan meletakkan syarat yang tinggi untuk sesuatu jawatan berbanding lelaki.Saya pernah bersembang dengan bekas pengarah Bank Islam di dalam komuter secara kebetulan.Beliau berkata pengambilan perempuan sesebuah jawatan sebagai contoh “akauntant” memerlukan ijazah kelas pertama berbanding lelaki yang hanya memerlukan ijazah kelas kedua.Ini menunjukan bahawa perempuan perlu bersaing dengan lebih sengit berbanding lelaki dalam mencari pekerjaan.
Peranan Graduan dalam Masyarakat.
Kita tidak harus lupa bahawa tugas graduan yang mendapat phD,Master,ijazah,diploma,sijil bukan berakhir di universiti sahaja.Setelah selesai kita belajar maka kita akan memasuki satu alam iaitu alam yang lebih realistik.Di mana teori-teori yang kita perolehi semasa pengajian perlulah diimplimenkan pada masyarakat.
Kita harus sedar bahawa tugas kita bukan hanya mendapat ilmu semata-mata,tetapi bagaimana dengan ilmu yang kita ada perlu kita mengakarkan kepada masyarakat.
Maka úsahlah kita rasa sombong dengan apa yang kita ada.Memandang orang dengan pandangan hina.Bantulah mereka,dengan itu pasti ganjaran pahala besar menanti bagi orang-orang yang berilmu tetapi menggunakan ilmunya untuk membantu orang lain.
posted by rezwan @ Tuesday, November 14, 2006,
,
![]()
1 Comments:
- At 11:13 AM, najla said...
-
tahniah dah grad..selamat menempuh alam pekerjaan..lawatlah blog angah..http://jenanese.blogspot.com
Berita Harian:7 November 2006
Thursday, November 09, 2006
KEJADIAN ragut yang mengorbankan penyelia kilang dan mencederakan isterinya di Johor Bahru, baru-baru ini adalah bukti menunjukkan sebilangan orang muda termasuk mat rempit semakin ganas dan bahaya.
Tiada unsur belas kasihan dan hormat kepada orang lain. Apa sudah jadi kepada generasi muda belia kita hari ini?
Slogan ‘Belia Tonggak Negara’, ‘Belia Harapan Bangsa’, ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok’ rasanya semakin jauh dan sayup-sayup kedengaran.
Adakah slogan ini mampu kita realisasikan atau mungkin hanya mampu dilihat dalam ilusi?
Generasi muda atau golongan belia adalah kumpulan penting dalam masyarakat kerana mereka menjadi tulang belakang kepada sesebuah negara. Golongan belia memiliki sifat berani mencuba dan sanggup mengambil risiko, sifat yang perlu dikumpul dan digarap untuk menjana negara.
Malik Bennabi dalam pandangannya mengenai golongan muda menyatakan bahawa sekiranya generasi muda itu unggul daripada seluruh aspek, maka kita akan saksikan sebuah negara yang unggul dapat dibina, tetapi sekiranya generasi muda itu lemah dan lesu, maka kita akan saksikan keruntuhan sebuah negara.
Oleh yang demikian, Islam memberi contoh cukup cantik mengenai golongan belia dan Allah nukilkan banyak kisah keunggulan belia Islam dalam al-Quran.
Al-Quran mengisahkan mengenai seorang belia bernama Yusuf yang begitu tinggi iltizamnya melawan hawa nafsu sehinggakan belia sanggup dipenjara kerana takut kepada Allah.
Namun, belia kita hari ini, tidak berasa malu untuk melakukan seks bebas hingga melahirkan anak luar nikah.
Al-Quran juga menceritakan dengan jelas beberapa pemuda yang berjiwa besar sanggup meninggalkan kampung halaman untuk menyelamatkan akidah yang berharga dalam surah al-Kahfi tetapi belia hari ini terikut dengan gejala Black Metal, Punk dan jelas menyesatkan akidah mereka.
Pada zaman Rasulullah SAW, dua pemuda Muadh bin Amru dan Muawwidh bin Afra berjaya membunuh Abu Jahal, musuh Islam dalam peperangan Badar Kubra tetapi yang terjadi hari ini ramai remaja kita terbunuh akibat menjadi mat rempit berlumba di jalan raya.
Begitulah contoh yang ditunjukkan kepada kita umat Islam mengenai ciri golongan muda yang bertakwa, berjiwa besar dan penuh idealisme.
Menurut Dr Muhhammad Said Ramadan al-Butiy, golongan muda pada asalnya tidak bermasalah tetapi mereka dijangkiti masalah masyarakat di sekitar mereka.
Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai The effect of TV Violence on Malaysian Children pada 1983 menunjukkan rancangan televisyen seperti kartun dan drama yang memaparkan aksi ganas mempengaruhi minda kanak-kanak melakukan jenayah.
Sebagai contoh kartun Popeye dan Superman yang disiarkan dulu mengandungi elemen ganas yang menyebabkan kanak-kanak mudah terpengaruh.
Zaman kanak-kanak adalah alam di mana mereka mengalami proses pembelajaran berterusan. Kanak-kanak tidak mempunyai ketahanan daya saring dan tidak mampu membezakan perkara baik dan buruk menyebabkan mereka menerima apa yang dilihat di televisyen.
Kajian CAP boleh diambil sebagai kayu ukur mengapa golongan muda hari ini sudah luntur akhlaknya disebabkan program yang mereka tonton pada zaman kanak-kanak mereka.
Jika zaman dulu, kanak-kanak disajikan dengan rancangan hiburan yang ganas, hari ini mereka disogok program realiti TV yang boleh melalaikan.
Fenomena ini memberi kesan buruk yang amat besar kepada kanak-kanak dan belia.
Justeru, untuk melahirkan generasi belia yang disegani lagi dihormati dan boleh memacu negara pada zaman akan datang, institusi keluarga perlu memainkan peranan penting terutama ibu bapa dalam mengawal program televisyen untuk tontonan anak.
Di negara Barat, ada segolongan aktivis yang memboikot televisyen kerana sedar rancangan yang disajikan akan memberi pengaruh negatif kepada generasi muda mereka.
Dr Harbarino, ahli psikologi kanak-kanak dari Pennsylvania State University, berpendapat rancangan polis dan kartun paling banyak mengandungi unsur keganasan.
Sebaiknya, masa kanak-kanak dipenuhi dengan bahan bacaan yang bersesuaian dengan mereka.
Generasi muda yang berkualiti perlu dilengkapkan dengan ilmu bermanfaat sebagai persediaan melahirkan belia harapan negara.
MOHD REZWAN ALIAS,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan
Pelajar Islam Malaysia.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
posted by rezwan @ Thursday, November 09, 2006,
,
![]()
0 Comments:

