Site Network: Personal | My Company | Artist projects | Shop

 



BUKU:PUDARNYA PESONA CLEOPATRA


Buku ini sangat bermakna buat saya. Kisah saya untuk mendapatkan buku ini begitu susah. Jadi nilainya sangat tinggi bagi saya. Kebiasaanya, setiap buku yang saya beli akan saya catatkan tarikh dan sedikit ulasan pada muka surat pertama buku yang dibeli.

Buku ini saya beli pada 5/8/2007, selepas pulang ke Perkhemahan Remaja Merdeka di Masjid Negara. Selepas tamat program tersebut, saya dan beberapa orang sahabat sempat singgah ke Pustaka Indonesia yang terletak di Jalan Masjid India. Kadai buku ini banyak menjual buku-buku dari Indonesia. Memasuki kedai ini, anda akan rasa terpegun kerana banyakknya buku-buku dari Indonesia boleh anda dapat di sini. Saya mengajak sahabat-sahabat saya singgah ke sini sebelum kami pulang ke Pulau Pinang sebagai salah satu usaha dakwah dalam menyemai budaya membaca.

Apa yang ingin saya kongsi pada pengunjung blog ini adalah begitu bermaknanya buku ini kepada saya. Bermula kesusahan berjalan dari Masjid Negara ke Pustaka Indonesia,yang jauhnya dalam 5 km sambil membawa beg yang sarat dengan pakaian dan paling menyedihkan apabila saya tertinggal buku ini di dalam bas ekspres sewaktu saya turun di Butterworth. Usaha menjejaki buku ini begitu payah, nasib baik Pn Sapiah, kerani tiket bas dari Kamunting bagitu baik hati, lalu mengepos buku ini kepada saya,selepas saya mengetahui buku ini ditinggalkan oleh pemandu bas di kaunter bas Kamunting.

Saya begitu gembira, apabila buku ini selamat sampai atas meja pejabat saya. Dengan penuh ghairah, buku ini saya baca sehelai demi sehelai sehingga habis. Ternyata karya Habiburrahman El- Shirazy sangat menarik dan penuh pengajaran.

Tajuk : Pudarnya Pesona Cleopatra
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Terbitan : Ar- Risalah Production
Halaman : 125
Harga : RM 11.90


Buku ini dicetak buat kali pertama dalam Bahasa Indonesia pada Nov 2005. Dan setakat ini buku ini telah dicetak sebanyak tiga kali dalam bahasa Indonesia. Terbaru, cetakan pertama dalam Bahasa Malaysia pada April 2007. Buku nipis ini mengandungi 2 novel yang ditulis oleh penulis sewaktu menuntut di Mesir. Tema besar novel ini adalah cinta sesama suami isteri yang disulamkan dengan ketakwaan kepada Allah. Novel ini bukan sahaja sesuai untuk pasanagn suami isteri, tetapi juga kepada mereka yang belum berumah tangga.

Kisah novel pertama yang termuat dalam buku ini bertajuk Pudarnya Pesona Cleopatra yang mengisahkan pasangan suami isteri. Raihana seorang wanita yang taat,serta solehah telah berkahwin dengan seorang pensyarah yang baru sahaja pulang dari menamatkan pengajian di Mesir. Perkahwinan mereka atas persetujuan ibu kedua-dua belah pihak dimana ibu Raihana telah berjanji dengan ibu suaminya untk mengahwinkan mereka semasa mereka kecil. Yang menjadi konflik adalah suami Raihana, yang terpaksa menuruti perintah ibunya untuk berkahwin dengan Raihana walaupun tiada perasaan cinta kepadanya. Suami Raihana, sebenarnya mempunyai citarasa yang tinggi. Dia bercita-cita menginginkan seorang isteri dari Mesir yang mempunyai ciri-ciri Ratu Cleopatra.Tinggi lampai,,wajah putih, hidung melengkung indah, mata bulat bening khas Arab dan bibir menawan-sejuk mempesona. Oleh sebab menginginkan isteri yang cantik sempurna, hubungan mereka suami isteri hambar berbulan lamanya .Sehinggalah pada suatu hari apabila suami ini bersembang dengan Pak Qalyubi, sewaktu mereka berkursus bersama. Kisah Pal Qalyubi tentang kehidudapan sedihnya yang tersiksa kerana berkahwin dengan wanita Mesir menimbulkan kesedaran kepada si suami. Lantas rasa cinta kepada Raihana membuak-buak. Si suami terus insaf namun semua sudah terlambat….

Kisah kedua dalam buku ini tidak kurang menariknya untuk dibaca. Novel bertajuk Setitis Embun Cinta Niyala mengisahkan seorang gadis yang solehah,cantik dan bakal menjadi seorang doktor terpaksa mengadapi dilema dalam membuat keputusan hidup. Niyala yang gembira kerana akan mendapat ijazah sarjana muda bidang perubatan beberapa hari saja lagi tiba-tiba menjadi sedih apabila mendapat surat kiriman dari ayahnya, Pak Rusli di kampung. Kandungan surat tersebut betul-betul merentap kegembiraannya. Isi kandungan surat tersebut meminta Niyala untuk menerima pinangan Roger anak Haji Cosmas. Pak Rusli telah banyak terhutang budi dengan Haji Cosmas sewaktu arwah ibu Niyala sakit. Pak Rusli yang miskin terpaksa berhutang dengan Haji Cosmas untuk membiayai kos perubatan. Namun, hati Niyala begitu benci dengan Roger. Roger pernah berniat untuk memperkosanya sewaktu dia berusia 4 tahun.Tetapi selamat Niyala dapat melarikan diri. Kebencian Niyala terhadap Roger makin mebuak-buak apabila sahabat karibnya Hesti menjadi pelacur disebabkan Roger. Niyala tersepit antara pendirian diri dan juga ketaatan kepada ayahnya....

Secara kesimpulannya,banyak pengajaran yang dapat diperolehi dari buku ini. Bagi saya, buku ini bukan berkisar atas elemen cinta semata-mata, tetapi penulis berjaya memberi penghayatan dan membawa pembaca apakah keperluan kita supaya mampu mencapai cinta suci. Yang pasti, cinta sesama manusia itu, perlu disertai dengan cinta pada Rabb.

posted by rezwan @ Monday, August 20, 2007,

1 Comments:

At 5:14 AM, Blogger Fieda said...

Emm mcm best jer novel tu..ape ending nyer...

 

Post a Comment

<< Home